Monday, July 9, 2012

RAMUAN PEMBINAAN RUMAH TANGGA BAHAGIA


Sebelum seorang muslim atau muslimah melangkah maju melalui pintu gerbang perkahwinan, dia perlulah berusaha untuk menimba ilmu dan memperolehi ramuan yang membolehkan pasangan rumah tangga meraihkan kebahagiaan.  Ramuan ini terdiri dari nilai-nilai kukuh dan sifat-sifat terpuji yang digabungjalinkan dengan kemahiran kerumahtanggaan serta diiringi oleh rasa pertanggungjawaban yang mendalam.  Pasangan suami isteri mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk menghayati dan mengamalkan nilai, sifat dan kemahiran ini dalam kehidupan rumah tangga seharian mereka sehingga menjadi sikap dan akhlak mereka.  Keberkesanan ramuan ini memerlukan masa dan usaha.  Pembinaan rumah tangga adalah ‘projek mega’ yang menuntut ilmu, kemahiran, kesabaran dan semangat pasukan yang tinggi kerana pembinaan rumah tangga dan keluarga adalah sebahagiaan dari projek pembangunan ummah.  Sebab itulah rumah tangga dan keluarga muslim ini mesti dibina di atas tapak iman dan taqwa, yang bata binaan tapak ini adalah ubudiyyah yang bersih kepada Allah SWT.  


Menurut Dr Ekram Beshir dan suaminya Dr Mohamed Rida Beshir dalam bukunya “Blissful Marriage” terdapat beberapa ramuan yang telah berjaya membangunkan rumah tangga yang bahagia.  Ramuan tersebut adalah:

(a) KOMITMENT ATAU KEILTIZAMAN

Komitmen atau keiltizaman kepada perkahwinan mendahului senarai ramuan utama ini.  Tanpa ramuan iltizam ini, hampir mustahil rumah tangga ini dapat dipertahankan dari kelesuan di pertengahan jalan dan relai serta roboh.  

Perkahwinan bukanlah majlis meriah yang berlangsung sehari dua, yang dira’ikan oleh kaum kerabat dan sahabat handai.  Majoriti pasangan yang berkahwin majlis inilah menjadi fokus dan memperuntukkan sumber kewangan, tenaga dan masa.  Sedikit sekali pasangan yang ‘merenung’ apa yang akan dialami di sebalik pintu gerbang ini.  Sedikit sekali yang memberikan tumpuan kepada ‘realiti’ yang akan dilalui oleh pasangan apabila majlis telah usai dan mereka berdua akan berdepan dengan persoalan tanggungjawab berat yang akan memberikan kesan yang besar ke atas kebahagiaan yang hakiki di Akhirat nanti.  Pasangan baru bernikah akan berdepan dengan satu realiti yang asing dan mencabar setelah mereka ‘ditinggalkan’untuk mengguruskan ‘projek mega’ ini. Kalaulah projek ini kecil, tidaklah Hasan Al-Banna menggariskan pembinaan baitul muslim sebagai anak tangga kedua dalam pembangunan sistem Islam yang sejagat.

Bayangkanlah realiti yang akan dihadapi: 

  • mereka berada di persekitaran yang baru; 

  • pasangan hidup yang baru, yang mana proses ta’arufnya baru sahaja bermula dan di tahap permukaan sahaja;

  • tabiat, perangai serta akhlak pasangan;

  • hajat dan harapan yang tinggi terhadap pasangan;

  • rutin yang baru

Perkara di atas akan membawa pasangan kepada cabaran yang besar kepada kedua-dua pasangan.

Realiti ini menuntut keiltizaman yang tinggi ke atas setiap pasangan dan bergantungan kepada bantuan Allah SWT.  Ini kerana Rasulullah SAW sendiri menghadapi masalah dengan para isteri Baginda, sedangkan kita adalah amat jauh dari keimanan, ketaqwaan dan kesabaran mereka.

Keiltizaman untuk membentuk kejayaan dan kebahagiaan rumah tangga ini adalah modal kedua terpenting setelah keimanan, yakni keyakinan dan pemahaman yang jelas, yang mahu serta mahir bagaimana menjadikan aktiviti rumah tangga sebagai ibadah untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT.  

Keiltizaman ini akan membantu merelaikan konflik yang muncul di hari muka dalam melalui kehidupan berumahtangga.  



Dr Beshir telah menulis:

“Marriage is not about getting what you want; rather it is about wanting what you get”

Kita memerlukan iltizam atau komitmen kepada menjadikan projek ini berjaya untuk membolehkan kita memiliki sikap yang fleksible dan bertolak ansur.

Rumah tangga yang berjaya adalah bila mana pasangannya memahami bahawa projek membina keluarga ini adalah sebahagian dari projek mega membina ummah.  Mereka memahami bahawa mereka perlu berusaha keras dan bersungguh-sungguh untuk memahami langkah-langkah kritis dan meletakkan batu asas dan sabar bila ‘outcome’ aktiviti rumah tangga atau sikap pasangan tidak seperti yang dihajati.
 
Nantikan Bahagian kedua.. insya'Allah.
(Kiranya golongan yang ingkar masih tidak mahu menerima peringatan yang diberi kepadanya) maka tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya. Kalaulah demikian, maka bagaimanakah mereka dapat menerima peringatan yang diberi kepada mereka - apabila saat kiamat itu datang kepada mereka? (Muhammad 47:18)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...