Tuesday, July 3, 2012

KITA AMAT MEMERLUKAN HIJRAH HATI


Setiap tahun masyarakat kita di Malaysia, dan juga di negara-negara yang lain mera’ikan kedatangan tahun Hijrah. Di sana sini majlis ceramah yang menjelaskan pengajaran yang boleh kita perolehi dari hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Yathrib (kemudian dinamakan semula oleh Rasulullah SAW sebagai Madinah). 

Bertahun-tahun ceramah yang serupa kita dengari, mungkin dari penceramah yang berbeza tetapi isinya sama saja. Fakta hijrah telah terpahat dalam ingatan kita tetapi keadaan kita tidak berubah.
Dengan meminjam kata-kata Khurram Murad:
“...Yet eyes remain dry, hearts remain unmoved, minds remain untouched, lives remain unchanged”

Ceramah dan kuliah ini kadang kala tidak memberikan bekas dan bekalan kepada kita untuk menjalani kehidupan kita sebagai hamba Allah SWT.
Justeru, mari kita meneliti hijrah dari satu sudut yang jarang dibincangkan, iaitu hijrah hati.
Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah dalam kitabnya ’Ar-Risalatut-Tabukiyyah’, terdapat dua jenis hijrah:
(a) Hijrah fizikal atau hijrah jasadi, dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Terdapat banyak perbincangan dalam aspek hijrah begini.
(b) Hijrah yang kedua adalah HIJRAH HATI KEPADA ALLAH SWT. Inilah yang sebenarnya, dan hijrah hati ini menjadi dasar hijrah yang pertama.Hijrah badani ini adalah natijah (outcome) hijrah hati
Hijrah hati seorang muhajir menuntut penghijrahan atau perpindahan dari SATU “REALITI” kepada realiti yang lain.
HATI MESTI HIJRAH DARI MENCINTAI PELBAGAI BENDA DAN PERKARA KEPADA MENGKHUSUSKAN CINTA HANYA UNTUK ALLAH SEMATA-MATA
HIJRAH DARI PERHAMBAAN KEPADA PELBAGAI BENDA KEPADA ALLAH SEMATA-MATA
HIJRAH DARI TAKUT KEPADA PELBAGAI BENDA KEPADA TAKUT HANYASANYA KEPADA ALLAH SWT
HIJRAH DARI BERGANTUNG HARAP KEPADA PELBAGAI BENDA KEPADA BERGANTUNG HARAP HANYASANYA KEPADA ALLAH SWT
HIJRAH DARI MEMOHON KEPADA PELBAGAI BENDA KEPADA MENGKHUSUKAN MEMOHON HANYASANYA KEPADA ALLAH SWT
HIJRAH KEPADA MENYERAH DIRI KEPADA PELBAGAI BENDA KEPADA PENYERAHAN DIRI HANYASANYA KEPADA KEHENDAK AALLAH SWT SAHAJA
Inilah pengertian yang menyeluruh ’lari menuju Allah’ “fafirru ilallah (QS Adzariyat (51: 50)
فَفِرُّوا إِلَى اللَّهِ ۖ إِنِّي لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌ مُّبِينٌ
“(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata”

KETERIKATAN HATI

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,
“Ya Allah! Aku menyerahkan diriku kepada-Mu, menghadapkan wajahku kepada-Mu, melepaskan segala urusanku kepada-Mu, mengukuhkan belakangku (memperolehi kekuatan) daripada-Mu, ..."
Rasulullah SAW juga bersabda:
"Muhajir yang benar adalah yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT"
(HR Al-Bukhari)
Allah SWT menghubungkan IMAN dan HIJRAH dalam beberapa ayat di dalam Al Qur'an. Antaranya adalah:
QS Al-Baqarah (2), ayat 218
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"
QS Al-Anfal (8) ayat 72; 74; 75
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itu satu sama lain lindung-melindungi ..."
Dalam Surah At-Taubah (9), ayat 20
"Orang-orang yang beiman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan"
HIJRAH DIDORONG OLEH CINTA
Hijrah kepada Allah merangkumi apa jua yang dibenci oleh Allah SWT dan melakukan apa jua yang dicintai oleh Allah SWT. Justeru, hijrah tumbuh dari cinta dan benci. Mereka yang berhijrah secara badani mestilah mencintai tempat yang dituju oleh hijrah tersebut lebih dari tempat yang ditinggalkan.
Nafsu kita yang sentiasa menerima bisikan dan pujukan syaitan, mengajak kita kepada yang bertentangan dengan apa yang dicintai Allah SWT. Di masa yang sama kita juga menerima bisikan dari iman kita yang sentiasa mengajak kita melakukan apa yang disukai oleh Allah SWT. Oleh kerana itu, kita perlu sentiasa berhijrah kepada Allah dan tidak meninggalkan hijrah ini sehingga kita mati.
Hijrah ini akan menguat atau melemah bergantung kepada tahap kecintaan kita kepada Allah SWT. Semakin kuat rasa cinta kita kepada Allah maka semakin sempurna hijrahnya kepada Allah SWT. Apabila rasa cinta ini semakin lemah dan pudar, maka keinginan untuk berhijrah kepada Allah juga akan lemah sehingga dia tidak lagi memiliki keinginan untuk berhijrah kepada Allah SWT.
HIJRAH HATI yang merupakan satu tuntutan yang diwajibkan atas setiap muslim selagi dia masih bernafas, tetapi dia masih lagi tidak berusaha untuk memperolehi ilmu berkaitan dengan perkara ini; atau tidak membangunkan hajat atau niat untuk melakukan hijrah ini maka Ibnu Qayyim mengatakan mereka adalah BUTA dan tiada apa yang boleh menyelamatkan dirinya di akhirat nanti kecuali dia menyedari kebutaan hatinya dan berusaha untuk melakukan hijrah.

HIJRAH KEPADA RASULULLAH SAW

Hijrah kepada Rasulullah SAW adalah sangat penting dalam kehidupan muslim. Hijrah ini adalah sukar kecuali bagi mereka yang sangat berhajat untuk melakukan hijrah ini.
Hijrah kepada Rasulullah SAW bererti:
"Perjalanan jiwa dalam setiap aspek kehidupannya, merangkumi rukun imana, urusan kehidupan hariannya, melalui bimbingan sunnah Rasulullah, tanpa mengikuti bimbingan sunnah Rasulullah SAW, maka dia berada dalam keadaan keraguan dan jatuh ke dalam kegelapan tanpa petunjuk"
Berhijrah kepada Rasulullah SAW diwajibkan atas setiap muslim dan merupakan bahagian kedua syahadatain kita.

Marilah kita tingkatkan usaha menyiapkan diri dan berhijrah kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, agar setiap hari yang kita lalui semakin bertambah bekalan kita untuk kehidupan di Akhirat kelak. Semakin dekat pula dengan cinta dan redha Allah SWT

SERANGAN DOSA YANG TERUS MENERUS: APAKAH KITA MAMPU SELAMATKAN HATI KITA?





Jika kita tanya siapapun di antara kita dengan satu soalan: siapakah yang TIDAK PERNAH melakukan dosa?
Pasti kita akan menjawab saya bukan sahaja pernah melakukan dosa tetapi saya telah banyak melakukan dosa. Inilah jawapan yang kita berikan kerana tidak ada seorangpun dari kita yang terlepas dari dosa.
Kita sebagai Muslim juga memahami sedikit sebanyak akibat dosa ke atas diri kita. Tidak ada satu perkarapun yang paling dahsyat kesan dan akibatnya dalam kehidupan ini selain dari DOSA.
Ya! Dosalah yang menyebabkan umat-umat yang lampau dibinasakan oleh Allah SWT. Dosa jugalah yang akan mengheret manusia ke dalam neraka Jahannam.
Tidak ada yang lebih parah kesannya kepada hati kita selain dari dosa. Mungkin setiap hari kita melakukan dosa dan dosa-dosa ini, mungkin kita anggap kecil tetapi dosa-dosa ini telah terhimpun setiap hari bertahun-tahun lamanya. Kita pula hidup di zaman ‘maksiat adalah satu industri’ yang memancarkan maksiat dalam bentuk yang sangat menarik sehingga bukan saja kita tidak meninggalkan perbuatan-perbuatan berdosa tetapi kita merasakan ‘nikmat dan beruntung’ bermaksiat terhadap Allah Yang Maha Pemurah.
Kita sedang hidup dalam masyarakat yang menjana maksiat siang dan malam dan hati kita diserang dengan serangan yang datang bertubi-tubi hingga melumpuhkan hati, mengerasbatukan hati kita hinggalah kita mengalami kematian hati. Ramai kita hidup TANPA HATI yang dapat berinteraksi dengan tanda-tanda kebesaran dn keagungan Allah SWT, tak dapat merasai syi’ar-syi’ar Islam dan jauh sekali untuk merasai cinta terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. ‘Kekebasan’ hati ini adalah kehilangan deria rasa hati yang asalnya sangat sensitif terhadap keindahan, keagungan dan keagungan Allah SWT tetapi kita tidak dapat merasainya, walaupun sebahagian mereka yang mengalami kekebasan hati ataupun yang lebih parah lagi kematian hati adalah di kalangan mereka yang telahpun bergabung dengan gerakan dakwah.
Dalam pertemuan-pertemuan kita berbincang ‘perkataan2’ yang tidak menjadi perasaan kita. Cinta, rindu, takut dan bergantung harap kepada allah SWT, adalah istilah-istilah yang kita sebut-sebutkan tetapi jarang sekali berpindah menjadi perasaan.
Dalam masa beberapa hari lagi masyarakat muslim di negara ini akan menyambut secara besar-besaran maulidur Rasul tetapi marilah kita secara jujur tanyakan diri kita dengan satu soalan: adakah kita benar-benar merasai cinta terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya melebihi segala bentuk cinta yang lain? Kalaupun adakalanya dirasai juga sedikit rasa cinta ini tetapi kemunculan perasaan cinta ini adalah jarang sekali. Pertemuan-pertemuan berkala yang dihadiri. sama ada di masjid, surau ataupun di mana-mana juga lingkaran tarbawi hati kita tetap berada dalam kekakuan dan kebekuan. Sekali lagi saya ingin mengulang kata-kata Khurram Murad dalam bukunya ‘The Way to The Qur’an’:
“...Yet eyes remain dry, hearts remain unmoved, minds remain untouched, lives remain unchanged”
Inilah yang berlaku kepada hatiku dan yang juga dialami oleh ramai sahabat-sahabat serta 'anak-anak' yang aku didik.
Sewaktu masih belajar di universiti dulu, terdapat di muka depan akhbar tertulis ‘THE SHRINKING DOLLAR’ (Dollar adalah RM pada ketika itu) maka ku sebutkan kepada rakan-rakan:
“Kenapa begitu risau kita terhadap keadaan ‘the shrinking Dollar’ sedangkan tidak ada langsung kebimbangan yang disuarakan mengenai ‘THE SHRINKING IMAN’”
Fenomena kehilangan (sensitiviti ) hati, dan mungkin juga kematian hati adalah kesan serangan maksiat dan berhimpunnya dosa sehingga hati menjadi gelap pekat.
Apakah yang mampu kita lakukan untuk merawat hati yang lumpuh membatu ini?
Ada beberapa panduan yang telah digariskan oleh para ulama untuk membawa hati kita melalui proses pengubatan dan pemulihan. Di bawah ini adalah sebuah hadith yang kurang masyhur untuk menggambarkan bahawa para sahabatpun melalui persekitaran yang tidak bebas dari serangan maksiat.
Abd al-Rahman Ibn Jubair meriwayatkan dari Abu Tawil al-mamdud bahawa dia (Abu Tawil) telah pergi bertemu dengan Rasulullah SAW [dalam riwayat lain disebutkan telah datang menemui Rasulullah SAW seorang tua yang bertongkat] dan berkata:
“Apa pendapat Tuan terhadap seorang yang telah melakukan segala bentuk dosa, tidak meninggalkan walaupun satu bentuk dosa. Bolehkah dia bertaubat?
Rasulullah SAW bertanya kepadanya: “Adakah anda telah Muslim? Dia menjawab dengan mengucap (dua kalimah syahadah) ‘Aku bersaksi bahawa tiada Ilah yang selayaknya disembah kecuali Allah dan Anda (Muhammad) adalah Pesuruh Allah’”
Rasulullah SAW bersabda:
“Lakukanlah amal-amal kebajikan dan menjauhlah dari amal-amal buruk dan Allah akan menggantikan menjadi amal kebaikan untukmu.” Dia bertanya, “Bagaimana dengan pelanggaran dan kemaksiatan yang aku lakukan?” Nabi berkata, “Ya, itu juga.” Laki-laki itu berkata, “Allahu Akbar!” dan terus mengagungkan kebesaran Allah sampai dia hilang dari pandangan.
Hadith di atas memberi pengajaran kepada bahawa:
Para sahabat, yang ramai jumlahnya, bukan malaikat, malah mereka adalah manusia, tetapi mereka adalah generasi terbaik yang Allah SWT pilih untuk bersama-sama dengan Rasulullah SAW berjuang menegakkan Deen-Nya. Walaupun begitu terdapat di kalangan mereka yang melalui ‘kelesuan’ dan melakukan maksiat.
Apakah yang dapat kita pelajari dari para sahabat yang telah melakukan maksiat?
Renung-renungkan....

ADAKAH HATI KITA TELAH MATI?


Anak-anak dan saudara saudari yang dikasihi! Kali ini marilah kita terus menerus menyiasat dengan keadaan hati kita dan berusaha merawat dan mengubatinya.  Kita perlu terus menerus dalam proses tarbiyah Islamiyah tanpa jemu kerana melalui proses tarbiyahlah kita dapat menghidupkan dan menguatkan hati kita.  Apa yang ditulis ini adalah mahasabah saya juga yang merasakan keperluan berhempas pulas dalam bermujahadah mentarbiyyah diri.  Semoga catatan ini memberikan manfaat kepada kita dunia dan lebih lagi di Akhirat.

Muhammad bin Wasi’ yang bergelar Zainur-Qur’an berkata tentang matinya hati:

“Dosa demi dosa membuat hati seseorang mati”

Justeru, ketika seseorang berkata kepada Said Ibn Musayyab bahawa Abdul Malik bin Marwan berkata: 

“Saat ini, aku tidak lagi merasakan kebahagiaan kerana kebajikan yang aku lakukan.  Aku juga tidak lagi merasakan kegelisahan kerana dosa yang aku perbuat”

Maka Said Ibn Musayyab berkata:

“Saat itu hatinya telah mati”

Contoh di atas bukanlah satu-satunya pertanda matinya hati, melainkan masih banyak indikasi lainnya, seperti yang tertera berikut ini:

1. Merasa senang dengan perbuatan dosa dan berusaha menampakkannya

2. Keinginan yang membara untuk berkumpul dengan orang-orang yang selalu berbuat maksiat

3. Merasa tertekan ketika melihat orang-orang yang taat

4. Sentiasa berbuat dosa dan tidak segera bertaubat

5. Tidak lagi merasa sedih dengan hilangnya perbuatan taat

6. Tidak lagi menolak kemungkaran, baik itu dengan tangan lisan, mahupun hatinya


ADAKAH KITA MEREMEHKAN HAK ALLAH SWT ATAS DIRI KITA?

Dosa membuat seorang hamba berani melanggar batasan-batasan yang telah digariskan oleh Allah SWT.  Oleh kerana itu, hatinya selalu condong kepada kemaksiatan, selalu melanggar apa yang telah diharamkan Allah SWT, dan terhapus dari ingatannya semuanya sinonim dengan taubat.

Justeru, ketika Anas bin Malik R.A menyaksikan generasi tabi’in, ia berkata:

“Kalian telah melakukan perbuatan-perbuatan yang di mata kalian amat remeh dibandingkan halusnya rambut, sedangkan di zaman Rasulullah SAW kami menganggap perbuatan-perbuatan tersebut termasuk dosa besar”

Anas bin Malik R.A mengatakan hal tersebut kerana keimanan para sahabat jauh dari kotoran yang menutup pandangan mereka.  Sehingga mereka mengetahui keagungan Allah SWT.  Oleh itu salah satu dari mereka mengingatkanmu:

“Janganlah kamu melihat kecilnya maksiat namun lihatlah keagungan Zat (Allah) yang kepada-Nya kamu bermaksiat”

Tompokan dosa demi dosa merupakan usaha licik dan tersusun oleh syaitan dengan tujuan untuk mencabut rasa takut kepada Allah SWT dari hati hamba-Nya, sehingga ia tenggelam dalam kubangan dosa, dan pada akhirnya membuat hatinya mati serta tidak mampu merasakan apa-apa lagi.

ADAKAH KITA TERGOLONG SEBAGAI MUNAFIK ATAU MUKMIN

Abdullah bin Mas’ud R.A berkata:

“Seorang mukmin sejati, melihat dosanya bagaikan gunung yang akan menghempap dirinya, sedangkan orang jahat melihat dosanya bagaikan lalat yang hinggap di hidungnya, seraya berkata: ‘Seperti ini saja’.  Maka terbanglah lalat tersebut”


Rasulullah memerintahkan kita untuk mengikuti nasihat-nasihat Ibnu Mas’ud.  Rasulullah SAW bersabda:

“Apa yang diucapkan oleh Ibnu Mas’ud dariku, maka percayailah (terimalah)

Kita semua melaksanakan perintah Rasulullah SAW, untuk menerima apa yang dituturkan oleh Ibnu Mas’ud. Dr Khalid Abu Syadi bertanya:

“Bagaimana kamu memandang dosa-dosamu?  Apakah kamu memandangnya bagaikan gunung yang akan menghempap dirimu atau lalat yang hinggap dihidungmu?”

Sebenarnya kitalah yang akan menentukan selamat atau tidaknya diri kita di dunia dan akhirat.  Semakin besar tompokan dosa dalam hati kita semakin hinalah kita di hadapan Allah SWT.  Semakin hina kita rasakan diri kita di hadapan Allah SWT maka semakin mulialah kita di sisi-Nya.  Marilah kita agungkanlah Allah SWT dalam qalbu kita dan akan kita rasai beratnya dosa.  Ini akan membawa kita menjadi mukmin yang sejati.  Namun jika kita meremehkan dosa-dosa, kita bimbangi nama-nama kita akan dicatat dalam senarai orang-orang munafik.

“Ya Allah, Engkau adalah Rabb-ku, tiada Ilah selain-Mu, aku berada dalam genggaman janji-Mu dan ancaman-Mu menurut kehendak-Mu.  Aku berlindung kepada-mu dari kejelekan yang aku lakukan.  Aku mengakui nikmat-Mu ke atasku dan aku telah melakukan dosa, maka ampunilah aku dan sesungguhnya tidak ada yang mengampuni dosa selain Engkau” 

(HR Bukhari)

Jika ingin mendapatkan manfaat yang terperinci anda boleh membaca buku tulisan Dr Khalid Abu Syadi bertajuk ‘Ketika Allah Berbahagia’ terbitan Gema Insani Press.

BERHATI-HATILAH DALAM URUSAN LELAKI DAN WANITA




Assalamualaikum..

Hubungan lelaki dan wanita yang bukan mahram ASALNYA HARAM. Ini kaedah asal cuma ada pengecualian. Oleh kerana kesalahfahaman akan membawa kepada dosa yang menjerumuskan kita kepada kerosakan hati, hilangnya kualiti ibadah dan akan mendapat kemurkaan Allah, ambillah sikap berhati-hati dalam urusan yang asalnya DILARANG. Telaahlah kitab-kitab muktabar. 

Carilah panduan dari kehidupan para sahabat. Jika dalam kehidupan mereka ada 'couple' dalam bentuk apapun kemukakanlah sebagai contoh. Kita katakan 'tarbiyah di tangan kita, hanya ditangan kita' dan kita hanya merujuk ulama2 muktabar, adakah ini yang kita lakukan dalam urusan membangunkan baitul dakwah? Awasilah bahwa salah satu langkah syaitan ialah dengan menghiasi perbuatan mungkar sebagai perbuatan yang baik dan diterima Allah. Telah ramai insan sepanjang zaman yang terperdaya dalam urusan cinta sehingga sehingga kehilangan cinta Allah SWT.


(Kiranya golongan yang ingkar masih tidak mahu menerima peringatan yang diberi kepadanya) maka tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya. Kalaulah demikian, maka bagaimanakah mereka dapat menerima peringatan yang diberi kepada mereka - apabila saat kiamat itu datang kepada mereka? (Muhammad 47:18)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...