Keropok amplang asalnya hanyalah makanan ringan masyarakat Melayu
berketurunan Bugis di Sabah. Kebiasaannya keropok empat segi itu menjadi
makanan ringan keluarga yang dimakan sambil menghirup kopi panas.
Tidak tahu mengapa keropok tersebut berbentuk empat segi, bukan bulat
atau bentuk lain. Kata orang, mungkin itulah kelainan sebagai daya
penariknya.
Tiada siapa menyangka keropok itu yang dahulunya merupakan antara
makanan tradisional penduduk desa kini sudah dikomersialkan oleh
pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini.
Tidak salah dikatakan, amplang sudah menjadi sebahagian makanan
ringan orang Sabah dan antara makanan ringan yang harus dibawa pulang
jika berkunjung ke negeri ini.
Makanan tersebut pada mulanya hanya dijual di daerah ini sekitar
1990-an dan selepas mendapat sambutan menggalakkan, amplang mula
memasuki pasaran di tempat lain.
Tawau adalah daerah perintis dalam menghasil dan memasarkan produk
amplang bersesuaian sebagai tempat yang memperkenalkan makanan itu
kepada masyarakat Sabah.
Difahamkan amplang adalah makanan ringan masyarakat Melayu Indonesia
dan apabila warga negara tersebut berhijrah ke pantai timur Sabah
khususnya Tawau satu ketika dahulu, makanan tradisi itu tidak dilupakan.
Terdapat ramai pengusaha IKS keropok amplang di Tawau yang memasarkan
produk mereka ke seluruh Sabah terutama ke bandar-bandar utamanya.