Monday, July 2, 2012

BILA BESARNYA HAJAT HATI

Putera-puteri yang dikasihi kerana Allah SWT, Al-Mutannabi telah mengungkapkan:

”Jika jiwa telah menjadi besar, akan letihlah jasad memenuhi hasratnya”

Kita dapat memahami ungkapan ini dengan pemahaman bahawa segalanya bermula dalam hati. Jika hajat hati hanyalah untuk makan, minum, menghias diri dan berseronok, maka itu saja akan kita perolehi. Itupun tidak semua hajat-hajat ini terpenuhi. Hajat sebegini adalah ’hajat nafs kelembuan’ yang mengajak kita hanya memenuhi hajat-hajat kehaiwanan dan ke’lempungan’ kita. Dengan memenuhi hajat lempung atau tanahliat, kita akan terus terikat kuat dengan ’graviti bumi’ dan tidak mampu untuk meluncur ke langit yang tinggi. Sedihnya bila kita dapati majoriti muslimpun telah dirantai kuat oleh ’graviti bumi’ ini sehingga jiwa tidak mampu mengilhamkan hajat-hajat yang tinggi dan besar. ’Mereka’ ini termasuklah kita. Mereka yang kita dapati bijak dan cerdas aqliyahnya, berhajat menjadi doktor, pensyarah dan sebagainya, bila diselidiki hajat mereka hanyalah untuk bersenang-lenang dalam kehidupan duniawi ini. Selepas tamat pengajian, kita mengharapkan akan kita perolehi jawatan yang besar gajinya dan berumahtangga dan akan mengecapi ’kebahagiaan’. Maka akan bahagialah kita ’sebahagia lembu’ sahaja. Perubahan tidak akan dapat dilakukan oleh mereka yang hanya mampu mengilhamkan ’hajat-hajat rendah’ ini.

Ibnu Qayyim Al-Jauziyah mengatakan:

”Sesuatu keuntungan, kebaikan, kenikmatan, kesempurnaan, semuanya tidak akan diperolehi kecuali dengan merasakan kesulitan. Tidak akan dapat dicapai kecuali melalui jembatan keletihan. Para cendiakawan telah sepakat bahawa kenikmatan tidak akan diperolehi melalui kenikmatan. Dan bahawa orang yang lebih mengutamakan istirehat, kelak akan kehilangan istirehat...”

Putera-puteri yang dikasihi, marilah kita mohon bersungguh-sungguh kepada Allah SWT supaya meletakkan ke dalam hati kita untuk membela Deen Allah dan ini adalah salah satu hajat yang paling besar dalam hidup seorang muslim.

Ya Allah, lindungilah kami dari menjadi manusia yang hanya berhajat untuk makan, minum dan berseronok sahaja. Jadikanlah kami hamba-Mu yang memiliki hajat yang besar dan agung. Perkenankanlah hajat kami ya Allah.

APABILA DOSA ADALAH KEPERLUAN DAN KENIKMATAN


Para ulamak telah sepakat bahawa iman sangat berkait rapat dengan maksiat yang kita lakukan.  Iman juga ada hubungan dengan keadaan diri kita dalam mengingati dosa.  Apabila iman kita kuat maka ingatan kita kepada dosa-dosa kita sentiasa berada dalam perasaan kita.  Pada ketika iman kita menjadi lemah, hati dan fikiran kita akan memfokuskan kepada pelbagai perkara duniawi sehinggakan perasaan kita kepada dosa hilang sehingga kita tidak lagi bimbang dan cemas terhadap yang semakin hari semakin menggunung.

Satu perkara lagi yang menyebabkan kita lalai dan lali terhadap dosa-dosa yang telah kita lakukan adalah kurangnya kefahaman dan kesedaran kita mengenai kesan dosa ke atas hati kita dan iman kita.  Jika kita tidak memahami marabahaya sesuatu jenis kuman yang boleh menyebabkan kematian (dengan izin Allah SWT) dan mempunyai kemampuan untuk merebak menjadi wabak dalam sesebuah negeri, maka kita akan mengabaikan ancaman kuman tersebut (kerana kita tidak merasai dan meyakini ianya ancaman) dan kitapun tidak mengambil langkah-langkah yang boleh mengelakkan diri dan masyarakat kita dari terkena jangkitan yang akan membawa kepada kematian.  Begitu jugalah hakikatnya kita dengan dosa dan maksiat.  Kita hidup dalam persekitaran yang tidak memahami hakikat dosa dan kemudharatannya ke atas diri kita dan masyarakat.  Kita kini sedang hidup dalam masyarakat yang menjadikan maksiat sebagai industri yang subur dan menguntungkan.  Majoriti anggota masyarakat kita merasa gembira dan ‘bahagia’ dalam persekitaran maksiat dan merasa nikmat pula melakukan maksiat. 

Ya Allah! Kesihanilah kami. Kenapalah kami merasa nikmat mendurhakai-Mu dan melanggar perintah-Mu. 

Kita dibesarkan dalam persekitaran yang ‘busuk’ dan menyesakkan iman kita tetapi sejak kecil lagi kita telah didedahkan kepada persekitaran ini sehingga hati kita telah kehilangan ‘deria rasanya’.  Kebusukan dosa dan maksiat tidak menyesakkan hati kita sehingga kita sampai ke tahap mencintai dan merasakan nikmat mendurhakai Allah SWT.  Tidak ada yang selamat dari wabak yang membunuh hati ini kecuali mereka yang dipelihara oleh Allah SWT.  Mereka inilah yang merasakan ‘gharib’ (dagang) dalam persekitaran yang rosak ini.  

Sebagai misalannya, majoriti anak muda hari ini bukan setakat tidak merasa perlu memelihara diri dari ‘ikhtilat’ (bergaul tidak syarak antara lelaki dan perempuan) tetapi merasakan ‘pergaulan’ itu satu keperluan dan keperluan ini pula adalah satu kenikmatan.  

Ya Allah! Apakah yang telah memesongkan kami sehingga kami merasa yakin bahawa kami perlu durhaka terhadap-Mu sebelum kami dapat kebahagiaan (mendirikan rumahtangga).

Melakukan maksiat adalah satu perkara tetapi berkeyakinan bahawa kita perlu mendurhakai Allah SWT dulu untuk mendapat kebahagiaan, adalah satu penyimpangan yang serius.  Lebih parah lagi apabila kita berusaha mencari nas dan pendapat yang membolehkan ikhtilat ini dan merasa ‘lega’ bukan lagi cemas pabila ada pendapat yang membolehkan, walaupun dalam konteks yang sangat berbeza.

BERLUMBA MENUJU TAQWA


Manusia secara fitrahnya suka bersaing atau 'berlumba'.  Majoriti kita, kalau bukan semuapun, suka kemenangan dan benci kekalahan.  Dorongan untuk menang inilah yang membawa kemajuan dalam hidup individu mahupun masyarakat.

Walaupun berlumba telah ditanam oleh Allah SWT dalam fitrah kita, yang berbeza adalah apakah yang 'akan dimenangi' dalam perlumbaan itu, apakah nilainya, bagaimanakah 'kemenangan' dalam perlumbaan itu akan mengubah atau menyebabkan hidup 'pelumba' menjadi lebih baik.  

Dorongan kuat atau 'bahan bakar'  untuk menjana perlumbaan adalah sama penting dengan sasaran atau matlamat perlumbaan.  Matlamat atau sasaran perlumbaan serta peraturan perlumbaanlah yang akan menentukan nilai perlumbaan tersebut. Adakah perlumbaan ini tidak penting atau bernilai atau perlumbaan yang akan membawa kita kebahagiaan yang sebenar.  Nilai matlamat atau sasaran perlumbaan ini sangat berkait rapat dengan pemahaman dan keyakinan kita kepada apa sebenarnya matlamat dan tujuan hidup kita.

Matlamat atau cita-cita setiap kita juga berbeza.  Bagi pemain badminton mungkin menjadi pemenang pingat emas di olimpik adalah matlamat yang diidamkan.  Pemain bolasepak di negara-negara 'gergasi' dalam sukan ini mempunyai matlamat untuk menjadi juara pertandingan piala dunia, atau sekurang-kurangnya sampai ke separuh akhir.

Bagi pemain bolasepak di Malaysia, mungkin rasa bahagia menjadi salah seorang pemain dalam pasukan yang memenangi pingat Sukan SEA atau layak ke peringkat kedua pertandingan kelayakan sukan olimpik atau piala dunia.  Dalam satu pasukan juga,  matlamat dalam hati juga berbeza antara seorang pemain dengan jurulatih, dan antara pemain.  

Mengilhamkan matlamat atau tujuan adalah sangat penting kerana kita perlu jelas apakah keadaan kita di hujung suatu usaha atau perjalanan.  Marilah kita renungi ungkapan Anthony Robbins, dalam bukunya yang terkenal 'Awaken the Giant Within':

“Goals are a means to an end, not the ultimate purpose of our lives. They are simply a tool to concentrate our focus and move us in a direction. The only reason we really pursue goals is to cause ourselves to expand and grow. Achieving goals by themselves will never make us happy in the long term; it's who you become, as you overcome the obstacles necessary to achieve your goals, that can give you the deepest and most long-lasting sense of fulfillment.” 

Matlamat yang jelas yang bermakna adalah suatu yang apabila kita memikirkannya hati kita akan gembira dan akan menyemarakkan semangat kita.  Kita dapat merasai kepuasan dan kenikmatan 'sampai ke sana'.


KAJIAN TARBAWI 05042012

oleh Rosdi Baharom pada pada 5hb April 2012 pukul 11.34 pagi ·

MENINGGALKAN KEJELEKAN ADALAH SUATU KEBAIKAN




Putera puteri yang dicintai kerana Allah SWT.

Kita sama-sama diberikan kesedaran oleh Allah SWT untuk memahami dan berusaha untuk memelihara diri kita dari kemurkaan Allah.  Kita faham bahawa hidup patut disibukkan dalam ketaatan kepada Allah dan menjauhi diri dari durhaka kepada Allah SWT.  

Tetapi, kita sama-sama menyedari bahawa kita mudah mengungkapkan kata-kata untuk mentaati Allah tapi realitinya memelihara diri dari perbuatan-perbuatan maksiat adalah sangat sukar.  Walaupun dalam sebahagian besar hidup kita, kita mampu tidak melakukan maksiat tetapi ada kalanya kita tersungkur juga.  Walaupun kita berusaha gigih untuk mentarbiyah diri kita tetapi kita menyedari bahawa kebencian kita kepada maksiat dan kemungkaran sangat lemah sehingga kita tidak kuat untuk menolak dorongan nafsu yang mahu kita melakukan maksiat.  Marilah kita renungi pesanan Sayyidina Umar Ibnu Al-Khattab. 

Umar Ibnu Al-Khattab pernah berkata:

“Jauhkanlah (jagalah) jiwa ini dari mengikuti hawa nafsunya, kerana jiwa selalu condong kepada hawa nafsu.  Dan sesungguhnya jika kalian tidak menahannya dari hawa nafsunya, maka ia akan menghantar kalian kepada sejelek-jelek perbuatan.

Sesungguhnya kebenaran ini sangat berat namun menyenangkan pada akhirnya.  Sedangkan kebatilan itu sangat ringan namun akan mengakibatkan kesusahan (yang berat) nantinya.  Dan meninggalkan perbuatan jelek itu lebih baik dari mengubatinya dengan bertaubat (setelah melakukan kesalahan/dosa).  Sudah berapa banyak pandangan yang menanamkan syahwah.  Dan sudah berapa banyak syahwat sesaat yang membawa kepada penyesalan yang panjang”

(Dari buku Untaian Hikmah Penggugah Jiwa)


DARI ABAH 25032012

oleh Rosdi Baharom pada pada 25hb Mac 2012 pukul 12.40 ptg 

A380 ASET BARU MAS

Pesawat dijangka mampu tingkat jumlah penumpang

PENERBANGAN Malaysia (MAS), memulakan era baru perkhidmatannya dengan menjadikan pesawat penumpang terbesar dunia, A380 sebagai tarikan utama mengukuhkan jumlah penumpangnya. Pesawat itu dibawa pulang semula ke Malaysia semalam selepas menjalani kemasan terakhir di kilang Airbus di Toulouse, dengan warna serta hiasan korporat MAS yang baru menjelang penerbangan sulungnya ke London, esok. Ketua Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya, berkata sambutan memberangsangkan yang diterima untuk penerbangan dua minggu pertama A380 memberikan isyarat sangat positif kepada syarikat penerbangan kebangsaan itu.

Katanya, bersandarkan tempahan awal yang diterima, faktor muatan bagi pesawat A380 adalah 10 peratus lebih tinggi daripada yang dicatatkan penerbangan serupa yang menggunakan pesawat Boeing 747.

“Faktor muatan A380 untuk penerbangan dua minggu pertama ini ternyata sudah melebihi jangkaan kami.

“Pesawat baru ini menyediakan daya tarikan yang besar dan ini sudah dibuktikan oleh syarikat penerbangan lain yang turut menggunakan A380.

“Kami mahu meraih faktor muatan setinggi mana yang mungkin, namun pada masa sama apa yang lebih penting adalah bagaimana MAS dapat menetapkan harga yang berdaya saing,” katanya pada sidang media menyambut ketibaan pesawat A380 itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.

Ketibaan rombongan disertai 91 tetamu dan kakitangan MAS, termasuk Ahmad Jauhari disambut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Pesawat yang diterbangkan Kapten Norshid Ali itu tiba di KLIA kira-kira jam 10 pagi selepas membuat penerbangan terus 12 jam dari Toulouse.

Ia akan membuat penerbangan sulungnya, MH2 dari KLIA ke London malam esok dan penerbangan sulung MH3 dari London ke KLIA keesokannya.

Pada majlis semalam, MAS turut melancarkan Lounge Kelas Pertama dan Perniagaan Antarabangsanya yang baru dinaikkan taraf.

MAS adalah syarikat penerbangan kelapan dunia yang menggunakan pesawat A380, yang dianggarkan bernilai AS$390 juta (RM1.2 bilion) setiap unit.

Syarikat penerbangan kebangsaan itu akan menerima lima lagi pesawat jenis itu sehingga Mac tahun depan.

Ahmad Jauhari berkata, MAS akan membuat keputusan berhubung destinasi serta tempoh kekerapan penerbangan bagi lima lagi pesawat itu pada suku ketiga ini.

“Kami sudah menghantar kertas cadangan, termasuk kepada Lapangan Terbang Narita di Jepun, dan lapangan terbang di China. MAS dijadualkan akan membuat pengumuman pada akhir suku ketiga ini,” katanya.

Pesawat A380 yang pertama itu dikhususkan untuk penerbangan ke London dengan kekerapan tiga kali seminggu.

Sementara itu, pesawat kedua yang dijadualkan tiba bulan depan akan membuat penerbangan harian ke London, dengan penerbangan sulungnya dijangka pada 25 Ogos ini.

Ahmad Jauhari berkata, ketibaan pesawat baru yang merendahkan usia angkatan pesawat MAS itu juga memberi isyarat bermulanya tahap produk dan pengalaman baru kepada penumpangnya.

“Ini sebahagian inisiatif pembaharuan angkatan pesawat untuk menurunkan purata usia pesawat kami, yang kemudian akan menghasilkan pengurangan kos dengan ketara,” katanya.

Sumber; Berita.Cari
(Kiranya golongan yang ingkar masih tidak mahu menerima peringatan yang diberi kepadanya) maka tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya. Kalaulah demikian, maka bagaimanakah mereka dapat menerima peringatan yang diberi kepada mereka - apabila saat kiamat itu datang kepada mereka? (Muhammad 47:18)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...