Keropok amplang asalnya hanyalah makanan ringan masyarakat Melayu berketurunan Bugis di Sabah. Kebiasaannya keropok empat segi itu menjadi makanan ringan keluarga yang dimakan sambil menghirup kopi panas.
Tidak tahu mengapa keropok tersebut berbentuk empat segi, bukan bulat atau bentuk lain. Kata orang, mungkin itulah kelainan sebagai daya penariknya.Tiada siapa menyangka keropok itu yang dahulunya merupakan antara makanan tradisional penduduk desa kini sudah dikomersialkan oleh pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini.
Tidak salah dikatakan, amplang sudah menjadi sebahagian makanan ringan orang Sabah dan antara makanan ringan yang harus dibawa pulang jika berkunjung ke negeri ini.
Makanan tersebut pada mulanya hanya dijual di daerah ini sekitar 1990-an dan selepas mendapat sambutan menggalakkan, amplang mula memasuki pasaran di tempat lain.
Tawau adalah daerah perintis dalam menghasil dan memasarkan produk amplang bersesuaian sebagai tempat yang memperkenalkan makanan itu kepada masyarakat Sabah.
Difahamkan amplang adalah makanan ringan masyarakat Melayu Indonesia dan apabila warga negara tersebut berhijrah ke pantai timur Sabah khususnya Tawau satu ketika dahulu, makanan tradisi itu tidak dilupakan.
Terdapat ramai pengusaha IKS keropok amplang di Tawau yang memasarkan produk mereka ke seluruh Sabah terutama ke bandar-bandar utamanya.
Keropok dalam bentuk bebola ringan diperbuat daripada bahan ikan tenggiri dan udang, pada mulanya digemari di Sabah, kini turut menembusi pasaran di Semenanjung, Brunei dan Singapura. |
Pada
masa ini Tawau merupakan pengeluar keropok amplang utama di Sabah
dengan mengeluarkan kira-kira 120 tan metrik amplang setahun bernilai
RM2.2 juta.