Arahan JPJ kepada pengusaha bas ekspres bagi perjalanan lebih 300km
Pengusaha bas ekspres di Sabah kini diwajibkan menyediakan tiga pemandu dengan dua pemandu gantian bagi setiap bas berbanding dua pemandu yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi perjalanan melebihi 300 kilometer bertujuan mengelak pemandu keletihan akibat bekerja lebih masa menjelang sambutan Aidilfitri akhir bulan ini.
Menerusi pendekatan itu, pengusaha bas diminta membuat dua kali penukaran pemandu berbanding sekali sebelum ini supaya pemandu mendapat rehat yang cukup sebelum mengambil alih tugas memandu pada perjalanan berikutnya.
Presiden Majlis Pengusaha Bas Ekspres Sabah (SEBOC), Donald Hanafi, berkata penyediaan tiga pemandu diwajibkan bagi perjalanan Kota Kinabalu-Tawau (555 kilometer), Kota Kinabalu-Semporna (565 kilometer), Kota Kinabalu-Kunak (472 kilometer) dan Kota Kinabalu-Lahad Datu (420 kilometer).
Peraturan tambahan sempena musim perayaan itu, katanya, sudah dimaklumkan kepada 21 syarikat bas ekspres yang beroperasi antara ibu negeri dan kawasan pantai timur negeri ini dengan perjalanan berkuat kuasa 25 Ogos ini.
"Berdasarkan peraturan JPJ, setiap bas yang menempuh perjalanan lebih 300 kilometer diwajibkan memiliki seorang pemandu gantian tetapi SEBOC mengambil keputusan menambah seorang bagi menjadikan setiap bas mempunyai tiga pemandu termasuk dua pemandu gantian.
"Ia bagi mengurangkan risiko kemalangan yang disebabkan pemandu mengantuk kerana kurang rehat. Dengan adanya dua pemandu gantian, pemandu pertama ada masa rehat yang panjang dan lebih segar apabila mengambil alih tugas memandu," katanya kepada Berita Harian.
Donald berkata, pihaknya turut mewajibkan bas yang sebelum ini tidak diperlukan menyediakan pemandu gantian supaya berbuat demikian dan melaksanakan sekali pertukaran pemandu sepanjang perjalanan.
Langkah itu, jelasnya, bagi membolehkan perjalanan bas ekspres sempena musim perayaan lebih lancar selain memastikan sasaran sifar kemalangan bas ekspres yang direkodkan di Sabah sejak beberapa tahun lalu diteruskan tahun ini.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 200 bas ekspres dengan masing-masing 100 bas bertolak dari ibu negeri dan daerah di pantai timur menyediakan perkhidmatan balik kampung sempena sambutan Aidilfitri kali ini dengan perjalanan bermula 25 Ogos ini.
"Bas terbabit beroperasi setiap hari dengan anggaran 4,500 penumpang sehari. Jika jumlah bas tidak mencukupi, kita akan menyediakan bas tambahan tetapi ia bergantung kepada bilangan tempahan tiket yang diterima pengusaha.
"Tempahan tiket untuk balik raya pada kali ini dibuka mulai Isnin ini. Kadar tambang yang dikenakan sama seperti yang ditetapkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP)," katanya.
Tambang bagi perjalanan Kota Kinabalu-Tawau ketika ini ialah RM71 seorang, manakala Kota Kinabalu-Semporna (RM75), Kota Kinabalu-Lahad Datu (RM52), Kota Kinabalu-Kunak (RM58) dan Kota Kinabalu-Sandakan (RM43).
No comments:
Post a Comment
SILA KOMEN DENGAN BERNAS YA KAWAN-KAWAN