26 JUN 2012 - BERNAMA
KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Rang Undang-undang bagi meminda Akta Francais 1998 yang mencadangkan denda sehingga RM250,000 kepada pemberi francais yang gagal mendaftar francaisnya dengan Pendaftar dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada hari Selasa.
Rang undang-undang itu dibentang Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim.
Menerusi pindaan itu seseorang pemberi francais hendaklah mendaftarkan francaisnya dengan Pendaftar sebelum boleh menjalankan perniagaan francais atau membuat tawaran untuk menjual francais kepada mana-mana orang.
Pertubuhan yang melakukan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM250,000 bagi kesalahan pertama dan denda tidak lebih RM500,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Bagi individu yang melakukan kesalahan pula boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pemberi francais juga hendaklah mengemukakan laporan kepada Pandaftar dalam tempoh enam bulan daripada penghujung tahun kewangan mereka dan Pendaftar juga diberi kuasa untuk membatal pendaftaran pemberi francais yang gagal menyerahkan laporan tahunan bagi tempoh lima tahun berturut-turut.
Pindaan itu juga mewajibkan broker francais atau perunding francais memperbaharui pendaftaran dalam tempoh 30 hari daripada tamat tempoh pendaftaran dan mereka yang gagal jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 dan tidak melebihi RM25,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.
Pindaan itu yang bertujuan mengemaskini Akta sedia ada agar selaras dengan pembangunan industri perniagaan francais di negara ini tidak melibatkan perbelanjaan kewangan tambahan.
Sumber; http://www.mfa.org.my
No comments:
Post a Comment
SILA KOMEN DENGAN BERNAS YA KAWAN-KAWAN