(b) BAHAN BAKAR ILTIZAM
Kita jelas
bahawa berumahtangga dan membentuk keluarga Islami adalah satu
perjalanan yang sangat jauh hingga ke Akhirat dan menuntut kita sentiasa
memelihara keiltizaman kita kepada tuntutan ubudiyyah yang digariskan
oleh Allah SWT, yang diterjemahkan dalam kehidupan ini oleh Rasulullah
SAW. Sebagaimana kenderaan berenjin atau pelita memerlukan bahan bakar
untuk memberi tenaga untuk bergerak ke destinasi atau mengekalkan
kecerahan cahaya. Komitmen kita dalam mengekalkan persekitaran yang
tarbawi dan membahagiakan akan melalui kelesuan dan mungkin sampai ke
tahap kekeringan. Justeru, kita perlu mengetahui bahan bakar atau
motivasi yang membantu mengekalkan keiltizaman.
Cahyadi Takariawan dalam bukunya ‘Menjadi Pasangan Yang Paling Berbahagia’ telah menulis mengenai motivasi suci dalam membangunkan rumah tangga dan keluarga Islami.
Beliau menulis: “Menikah adalah sebahagian dari ibadah kepada Allah. Untuk itu, hal tersebut mesti dilandasi oleh niat yang suci”.
Majoriti
masyarakat kita memahami ikhlas dengan pengertian ‘tanpa ada
kepentingan’. Tanpa ada sebarang kepentingan lain tidak membawa kita
benar-benar melakukan sesuatu amal hanyasanya kerana Allah, untuk
mendapat cinta dan redha Allah SWT.
Cahyadi menerangkan pengertian ikhlas di sini dengan memetik kata-kata Imam Hasan Al-Banna:
“Yang
dimaksudkan dengan ikhlas adalah seorang muslim menunjukkan segala
perkataan, amal dan jihadnya semata-mata mencari keredhaan Allah dan
ganjaran baik-Nya; tidak memandang keuntungan duniawi , kedudukan,
pangkat, gelaran, dan sebagainya. Oleh kerana itu, ia akan menjadi
manusia pembela cita-cita dan aqidah, bukan kepentingan peribadi”
Dari pengertian ini, Cahyadi mencatatkan:
“Dalam
kaitan dengan rumah tangga suami isteri bertemu dalam ikatan pernikahan
kerana Allah. Mereka hidup bersama dalam rumah tangga kerana Allah.
Mereka saling mencintai kerana Allah. Mereka bermusyawarah kerana
Allah. Mereka mendidik anak kerana Allah, membenci kerana Allah, rindu
kerana Allah, dan sayang kerana Allah. Mereka bergaul, berkomunikasi
dan bergurau kerana Allah”.
Ikhlas dalam amal inilah
yang menjadi dasar dan bahan bakar iltizam dan motivasi perjalanan ruma
tangga sehingga kita semampu mungkin mengenepikan hawa atau ego yang
boleh menjadi duri atau pagar yang memagari antara hati kita dengan
pasangan kita. Bila tenaga kejiwaan atau ruhiyah kekeringan, maka
kekuatan melakukan hanyasanya kerana Allah juga akan merosot dan
dorongan-dorongan lain akan mengambil tempat iman (ikhlas) dalam
interaksi antara suami isteri dan antara ibu bapa dengan anak.
Mencatatkan
perenggan di atas tidaklah sesukar mana tetapi penghayatannya dan usaha
memastikan bahawa setiap aktiviti kekeluargaan adalah di atas dasar
ubudiyyah adalah satu yang sangat sukar dan penulis sendiri telah gagal
dalam banyak hal di sepanjang perjalanan rumah tangga yang telah
berlansung selama 31 tahun. Kita membincangkan ini sebagai ilmu dan
panduan dan sama-samalah kita terus menerus bermunajat kepada Allah agar
dikurniakan kekuatan untuk menjadikan seluruh aktiviti kehidupan
sebagai aktiviti ubudiyyah kepada Allah dan kepada Alllah SWT sahaja.
Cahyadi
mengembangkan lagi kepentingan ikhlas sebagai motivasi terpenting dalam
memacu kehidupan berumahtangga menuju keredhaan Allah SWT dengan
menulis:
“Motivasi adalah tenaga yang menggerakkan
kehidupan. Seorang yang memiliki motivasi lurus akan menghasilkan
aktiviti yang lurus pula dalam segala bidang. Sebaliknya, jika motivasi
awalnya telah rosak, hal tersebut akan cenderung menghasilkan kegiatan
yang cenderung rosak pula dalam berbagai bidang kehidupan”.
Ikhlas
inilah dasar hubungan antara kita dengan pasangan kita dan ikhlaslah
yang menjadi tenaga dalam mengukuhkan hubungan suami isteri dan ikhlas
juga aka menjadi benteng apabila rumah tangga diuji dengan ujian yang
berat. Ujian hanya mampu dihadapi sebaiknya dengan sabar dan solat dan
keduanya berpaksikan keikhlasan tanpa sebarang pencemaran.
No comments:
Post a Comment
SILA KOMEN DENGAN BERNAS YA KAWAN-KAWAN