Jika kita tanya siapapun di antara kita dengan satu soalan: siapakah yang TIDAK PERNAH melakukan dosa?
Pasti
kita akan menjawab saya bukan sahaja pernah melakukan dosa tetapi saya
telah banyak melakukan dosa. Inilah jawapan yang kita berikan kerana
tidak ada seorangpun dari kita yang terlepas dari dosa.
Kita
sebagai Muslim juga memahami sedikit sebanyak akibat dosa ke atas diri
kita. Tidak ada satu perkarapun yang paling dahsyat kesan dan akibatnya
dalam kehidupan ini selain dari DOSA.
Ya! Dosalah yang
menyebabkan umat-umat yang lampau dibinasakan oleh Allah SWT. Dosa
jugalah yang akan mengheret manusia ke dalam neraka Jahannam.
Tidak
ada yang lebih parah kesannya kepada hati kita selain dari dosa.
Mungkin setiap hari kita melakukan dosa dan dosa-dosa ini, mungkin kita
anggap kecil tetapi dosa-dosa ini telah terhimpun setiap hari
bertahun-tahun lamanya. Kita pula hidup di zaman ‘maksiat adalah satu
industri’ yang memancarkan maksiat dalam bentuk yang sangat menarik
sehingga bukan saja kita tidak meninggalkan perbuatan-perbuatan berdosa
tetapi kita merasakan ‘nikmat dan beruntung’ bermaksiat terhadap Allah
Yang Maha Pemurah.
Kita sedang hidup dalam masyarakat yang
menjana maksiat siang dan malam dan hati kita diserang dengan serangan
yang datang bertubi-tubi hingga melumpuhkan hati, mengerasbatukan hati
kita hinggalah kita mengalami kematian hati. Ramai kita hidup TANPA
HATI yang dapat berinteraksi dengan tanda-tanda kebesaran dn keagungan
Allah SWT, tak dapat merasai syi’ar-syi’ar Islam dan jauh sekali untuk
merasai cinta terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. ‘Kekebasan’ hati ini
adalah kehilangan deria rasa hati yang asalnya sangat sensitif terhadap
keindahan, keagungan dan keagungan Allah SWT tetapi kita tidak dapat
merasainya, walaupun sebahagian mereka yang mengalami kekebasan hati
ataupun yang lebih parah lagi kematian hati adalah di kalangan mereka
yang telahpun bergabung dengan gerakan dakwah.
Dalam
pertemuan-pertemuan kita berbincang ‘perkataan2’ yang tidak menjadi
perasaan kita. Cinta, rindu, takut dan bergantung harap kepada allah
SWT, adalah istilah-istilah yang kita sebut-sebutkan tetapi jarang
sekali berpindah menjadi perasaan.
Dalam masa beberapa
hari lagi masyarakat muslim di negara ini akan menyambut secara
besar-besaran maulidur Rasul tetapi marilah kita secara jujur tanyakan
diri kita dengan satu soalan: adakah kita benar-benar merasai cinta
terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya melebihi segala bentuk cinta yang lain?
Kalaupun adakalanya dirasai juga sedikit rasa cinta ini tetapi
kemunculan perasaan cinta ini adalah jarang sekali. Pertemuan-pertemuan
berkala yang dihadiri. sama ada di masjid, surau ataupun di mana-mana
juga lingkaran tarbawi hati kita tetap berada dalam kekakuan dan
kebekuan. Sekali lagi saya ingin mengulang kata-kata Khurram Murad
dalam bukunya ‘The Way to The Qur’an’:
“...Yet eyes remain dry, hearts remain unmoved, minds remain untouched, lives remain unchanged”
Inilah yang berlaku kepada hatiku dan yang juga dialami oleh ramai sahabat-sahabat serta 'anak-anak' yang aku didik.
Sewaktu
masih belajar di universiti dulu, terdapat di muka depan akhbar
tertulis ‘THE SHRINKING DOLLAR’ (Dollar adalah RM pada ketika itu) maka
ku sebutkan kepada rakan-rakan:
“Kenapa begitu risau kita
terhadap keadaan ‘the shrinking Dollar’ sedangkan tidak ada langsung
kebimbangan yang disuarakan mengenai ‘THE SHRINKING IMAN’”
Fenomena
kehilangan (sensitiviti ) hati, dan mungkin juga kematian hati adalah
kesan serangan maksiat dan berhimpunnya dosa sehingga hati menjadi gelap
pekat.
Apakah yang mampu kita lakukan untuk merawat hati yang lumpuh membatu ini?
Ada
beberapa panduan yang telah digariskan oleh para ulama untuk membawa
hati kita melalui proses pengubatan dan pemulihan. Di bawah ini adalah
sebuah hadith yang kurang masyhur untuk menggambarkan bahawa para
sahabatpun melalui persekitaran yang tidak bebas dari serangan maksiat.
Abd
al-Rahman Ibn Jubair meriwayatkan dari Abu Tawil al-mamdud bahawa dia
(Abu Tawil) telah pergi bertemu dengan Rasulullah SAW [dalam riwayat
lain disebutkan telah datang menemui Rasulullah SAW seorang tua yang
bertongkat] dan berkata:
“Apa pendapat Tuan terhadap
seorang yang telah melakukan segala bentuk dosa, tidak meninggalkan
walaupun satu bentuk dosa. Bolehkah dia bertaubat?
Rasulullah SAW bertanya kepadanya: “Adakah
anda telah Muslim? Dia menjawab dengan mengucap (dua kalimah syahadah)
‘Aku bersaksi bahawa tiada Ilah yang selayaknya disembah kecuali Allah
dan Anda (Muhammad) adalah Pesuruh Allah’”
Rasulullah SAW bersabda:
“Lakukanlah
amal-amal kebajikan dan menjauhlah dari amal-amal buruk dan Allah akan
menggantikan menjadi amal kebaikan untukmu.” Dia bertanya, “Bagaimana
dengan pelanggaran dan kemaksiatan yang aku lakukan?” Nabi berkata, “Ya,
itu juga.” Laki-laki itu berkata, “Allahu Akbar!” dan terus
mengagungkan kebesaran Allah sampai dia hilang dari pandangan.
Hadith di atas memberi pengajaran kepada bahawa:
Para
sahabat, yang ramai jumlahnya, bukan malaikat, malah mereka adalah
manusia, tetapi mereka adalah generasi terbaik yang Allah SWT pilih
untuk bersama-sama dengan Rasulullah SAW berjuang menegakkan Deen-Nya.
Walaupun begitu terdapat di kalangan mereka yang melalui ‘kelesuan’ dan
melakukan maksiat.
Apakah yang dapat kita pelajari dari para sahabat yang telah melakukan maksiat?
Renung-renungkan....
No comments:
Post a Comment
SILA KOMEN DENGAN BERNAS YA KAWAN-KAWAN