Monday, July 2, 2012

APABILA DOSA ADALAH KEPERLUAN DAN KENIKMATAN


Para ulamak telah sepakat bahawa iman sangat berkait rapat dengan maksiat yang kita lakukan.  Iman juga ada hubungan dengan keadaan diri kita dalam mengingati dosa.  Apabila iman kita kuat maka ingatan kita kepada dosa-dosa kita sentiasa berada dalam perasaan kita.  Pada ketika iman kita menjadi lemah, hati dan fikiran kita akan memfokuskan kepada pelbagai perkara duniawi sehinggakan perasaan kita kepada dosa hilang sehingga kita tidak lagi bimbang dan cemas terhadap yang semakin hari semakin menggunung.

Satu perkara lagi yang menyebabkan kita lalai dan lali terhadap dosa-dosa yang telah kita lakukan adalah kurangnya kefahaman dan kesedaran kita mengenai kesan dosa ke atas hati kita dan iman kita.  Jika kita tidak memahami marabahaya sesuatu jenis kuman yang boleh menyebabkan kematian (dengan izin Allah SWT) dan mempunyai kemampuan untuk merebak menjadi wabak dalam sesebuah negeri, maka kita akan mengabaikan ancaman kuman tersebut (kerana kita tidak merasai dan meyakini ianya ancaman) dan kitapun tidak mengambil langkah-langkah yang boleh mengelakkan diri dan masyarakat kita dari terkena jangkitan yang akan membawa kepada kematian.  Begitu jugalah hakikatnya kita dengan dosa dan maksiat.  Kita hidup dalam persekitaran yang tidak memahami hakikat dosa dan kemudharatannya ke atas diri kita dan masyarakat.  Kita kini sedang hidup dalam masyarakat yang menjadikan maksiat sebagai industri yang subur dan menguntungkan.  Majoriti anggota masyarakat kita merasa gembira dan ‘bahagia’ dalam persekitaran maksiat dan merasa nikmat pula melakukan maksiat. 

Ya Allah! Kesihanilah kami. Kenapalah kami merasa nikmat mendurhakai-Mu dan melanggar perintah-Mu. 

Kita dibesarkan dalam persekitaran yang ‘busuk’ dan menyesakkan iman kita tetapi sejak kecil lagi kita telah didedahkan kepada persekitaran ini sehingga hati kita telah kehilangan ‘deria rasanya’.  Kebusukan dosa dan maksiat tidak menyesakkan hati kita sehingga kita sampai ke tahap mencintai dan merasakan nikmat mendurhakai Allah SWT.  Tidak ada yang selamat dari wabak yang membunuh hati ini kecuali mereka yang dipelihara oleh Allah SWT.  Mereka inilah yang merasakan ‘gharib’ (dagang) dalam persekitaran yang rosak ini.  

Sebagai misalannya, majoriti anak muda hari ini bukan setakat tidak merasa perlu memelihara diri dari ‘ikhtilat’ (bergaul tidak syarak antara lelaki dan perempuan) tetapi merasakan ‘pergaulan’ itu satu keperluan dan keperluan ini pula adalah satu kenikmatan.  

Ya Allah! Apakah yang telah memesongkan kami sehingga kami merasa yakin bahawa kami perlu durhaka terhadap-Mu sebelum kami dapat kebahagiaan (mendirikan rumahtangga).

Melakukan maksiat adalah satu perkara tetapi berkeyakinan bahawa kita perlu mendurhakai Allah SWT dulu untuk mendapat kebahagiaan, adalah satu penyimpangan yang serius.  Lebih parah lagi apabila kita berusaha mencari nas dan pendapat yang membolehkan ikhtilat ini dan merasa ‘lega’ bukan lagi cemas pabila ada pendapat yang membolehkan, walaupun dalam konteks yang sangat berbeza.

No comments:

Post a Comment

SILA KOMEN DENGAN BERNAS YA KAWAN-KAWAN

(Kiranya golongan yang ingkar masih tidak mahu menerima peringatan yang diberi kepadanya) maka tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya. Kalaulah demikian, maka bagaimanakah mereka dapat menerima peringatan yang diberi kepada mereka - apabila saat kiamat itu datang kepada mereka? (Muhammad 47:18)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...