Monday, July 2, 2012

BILA BESARNYA HAJAT HATI

Putera-puteri yang dikasihi kerana Allah SWT, Al-Mutannabi telah mengungkapkan:

”Jika jiwa telah menjadi besar, akan letihlah jasad memenuhi hasratnya”

Kita dapat memahami ungkapan ini dengan pemahaman bahawa segalanya bermula dalam hati. Jika hajat hati hanyalah untuk makan, minum, menghias diri dan berseronok, maka itu saja akan kita perolehi. Itupun tidak semua hajat-hajat ini terpenuhi. Hajat sebegini adalah ’hajat nafs kelembuan’ yang mengajak kita hanya memenuhi hajat-hajat kehaiwanan dan ke’lempungan’ kita. Dengan memenuhi hajat lempung atau tanahliat, kita akan terus terikat kuat dengan ’graviti bumi’ dan tidak mampu untuk meluncur ke langit yang tinggi. Sedihnya bila kita dapati majoriti muslimpun telah dirantai kuat oleh ’graviti bumi’ ini sehingga jiwa tidak mampu mengilhamkan hajat-hajat yang tinggi dan besar. ’Mereka’ ini termasuklah kita. Mereka yang kita dapati bijak dan cerdas aqliyahnya, berhajat menjadi doktor, pensyarah dan sebagainya, bila diselidiki hajat mereka hanyalah untuk bersenang-lenang dalam kehidupan duniawi ini. Selepas tamat pengajian, kita mengharapkan akan kita perolehi jawatan yang besar gajinya dan berumahtangga dan akan mengecapi ’kebahagiaan’. Maka akan bahagialah kita ’sebahagia lembu’ sahaja. Perubahan tidak akan dapat dilakukan oleh mereka yang hanya mampu mengilhamkan ’hajat-hajat rendah’ ini.

Ibnu Qayyim Al-Jauziyah mengatakan:

”Sesuatu keuntungan, kebaikan, kenikmatan, kesempurnaan, semuanya tidak akan diperolehi kecuali dengan merasakan kesulitan. Tidak akan dapat dicapai kecuali melalui jembatan keletihan. Para cendiakawan telah sepakat bahawa kenikmatan tidak akan diperolehi melalui kenikmatan. Dan bahawa orang yang lebih mengutamakan istirehat, kelak akan kehilangan istirehat...”

Putera-puteri yang dikasihi, marilah kita mohon bersungguh-sungguh kepada Allah SWT supaya meletakkan ke dalam hati kita untuk membela Deen Allah dan ini adalah salah satu hajat yang paling besar dalam hidup seorang muslim.

Ya Allah, lindungilah kami dari menjadi manusia yang hanya berhajat untuk makan, minum dan berseronok sahaja. Jadikanlah kami hamba-Mu yang memiliki hajat yang besar dan agung. Perkenankanlah hajat kami ya Allah.

No comments:

Post a Comment

SILA KOMEN DENGAN BERNAS YA KAWAN-KAWAN

(Kiranya golongan yang ingkar masih tidak mahu menerima peringatan yang diberi kepadanya) maka tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya. Kalaulah demikian, maka bagaimanakah mereka dapat menerima peringatan yang diberi kepada mereka - apabila saat kiamat itu datang kepada mereka? (Muhammad 47:18)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...